• Besarkan saiz font
  • Default saiz font
  • Kurangkan saiz font
Ruang Iktibar > Akhlak
Akhlak

AKHLAK YANG TERCELA

E-mail Cetak PDF

mengumpat makan-banyak



 

1. TAMAK KEPADA MAKAN

Ertinya gemar dan tamak kepada makan, iaitu sentiasa mereka-reka apa yang hendak dimakan seterusnya. Perutnya akan sentiasa sendat dengan makanan dan minuman. Kebiasaan bagi orang yang tamak ialah mementingkan diri sendiri. Firman Allah SWT.

Makanlah dan minumlah kamu tetapi jangan kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Araf: 30)

Makan dan minum pada syarak tujuannya adalah sekadar untuk membolehkan ibadah kepada Allah. Banyak makan menyebabkan tubuh badan memberat dan menimbulkan rasa malas untuk menunaikan tuntutan Allah. Terlalu banyak makan juga membawa nafsu untuk melakukan kejahatan.


2. GEMAR BERCAKAP

Ertinya suka dan gemar bercakap perkara yang sia-sia dan tidak berguna untuk dunia dan akhiratnya. Firman Allah SWT.

Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan mereka melainkan bisikan orang yang menyuruh manusia memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamian di antara manusia.” (An Nisa: 114)

3. MARAH

Iaitu bersifat pemarah. Marah yang dimaksudkan ialah marah yang melulu dan tidak kena pada tempatnya. Sebaliknya, marah kepada apa yang disuruh oleh Allah merupakan sifat terpuji sepertimana Rasulullah S.A.W marah pada orang yang mengabaikan perintah Allah.

Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dan Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya sama ada di waktu lapang atau kesempitan dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Ali Imran: 133-134)

Sifat pemarah berpunca dari sifat sombong atau rasa kebesaran yang bersarang di dalam hati. Lagi besar sombong seseorang itu, lagi besarlah kemarahannya. Seorang yang pemarah adalah seorang yang biadab terhadap sesama manusia dan juga biadab terhadap Allah SWT. Ia boleh memecahbelahkan hati-hati manusia. Sifat kebesaran atau sombong mesti diungkaikan dan diganti dengan sifat kehambaan atau rendah diri.

4. HASAD DENGKI

Ertinya dengki iaitu suka nikmat yang ada pada orang lain hilang atau suka apabila orang lain ditimpa musibah. Dan dadanya akan sesak apabila mendengar orang lain mendapat nikmat dan bergembira apabila orang lain ditimpa bala. Firman Allah SWT.

Apakah mereka dengkikan manusia lantaran kurniaan yang ALLAH telah berikan kepada mereka.” (An Nisa: 54)

Sifat hasad dengki ini lahir dari hati yang sombong dan tidak redha dengan ketentuan Allah. Apabila ada sifat hasad dengki, akan berlaku hina menghina, benci membenci, fitnah memfitnah, jahat sangka yang kesemuanya akan mendatangkan dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya. Sabda Rasulullah S.A.W.

Hasad memakan amalan seperti api memakan kayu.

Hidup bagi seorang yang berhasad dengki ini tidak pernah tenang dan selalu berdukacita.

5. KEDEKUT

Ertinya kikir atau kedekut kerana terlalu sayangkan nikmat sehingga tidak menggunakannya untuk tujuan-tujuan yang disuruh oleh Allah S.W.T. Punca sifat ini adalah cinta kepada dunia dan lupakan akhirat. Firman Allah S.W.T.

Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnianya menyangka bahawa kebakhilannya itu adalah baik bagi mereka, sebenarnya apa yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka di hari kiamat kelak.” (Ali Imran: 180)

6. SUKA KEMEGAHAN DUNIA

Iatu cinta akan kemegahan dunia serta suka akan kemasyhuran. Firman Allah S.W.T.

Negeri Akhirat itu Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin kepada ketinggian dan kemegahan dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Al Qasas: 83)

Sifat ini adalah pakaian orang-orang sombong yang lupa asal usul kedatangannya dan lupa Allah dan hari Akhirat. Biasanya orang yang mempunyai sifat ini hidup di dalam kepura-puraan.


7. CINTA DUNIA

Terlalu kasihkan dunia dan sibuk memikirkannya sehingga lalai daripada menunaikan perintah Allah S.W.T. Sifat ini menyebabkan seseorang itu tidak lagi memikirkan halal haram, perintah atau tegahan Allah dalam usahanya mencari keduniaan. Firman Allah S.W.T.

Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia maka kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tetapkan baginya Neraka Jahannam dan akan memasukinya dengan keadaan tercela dan terusir.” (Al Isra’: 18)

Yang dimaksudkan dunia ialah sesuatu yang tidak ada hubungan dan manfaat untuk Akhirat. Dunia yang ada manfaat di Akhirat bukan lagi disebut dunia. Yang dikeji ialah dunia yang tidak mendatangkan hasil yang baik di Akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W.

Sesungguhnya Allah suka member keduniaan dengan sebab amalan. Akhirat tetapi kalau amalnya khusus untuk dunia maka tidak akan diberi Akhirat.”


8. SOMBONG
Iaitu merasakan dirinya baik, mulia, tinggi dan terhormat dan memandang orang lain dengan pandangan yang rendah dan penuh kehinaan. Daripada sifat ini lahir bermacam-macam lagi sifat yang buruk dan mencetuskan berbagai-bagai kemungkaran di dunia. Firman Allah S.W.T.

Akan Aku pesongkan dari tanda-tanda kebesaranKu orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar.” (Al Araf: 146)

Kibir adalah pakaian Allah S.W.T, sifat khususiah hanya untuk Allah. Kerana Allah itu Maha Agung, Maha Pencipta dan Maha Besar dan Allahlah yang mengagih-agihkan nikmat kepada seluruh hamba-hambaNya. Sifat ini jika dijadikan pakaian makhluk, ia akan menjadi induk kepada kejahatan kerana sifat inilah yang menyebabkan iblis menjadi kufur dan dilaknak oleh Allah SWT.


9. KAGUM AKAN KEHEBATAN DIRI

Ertinya ialah hairan akan dirinya, iaitu merasa kagum akan kehebatan dirinya mampu mendirikan ibadah yang banyak, merasa hebat melihat dirinya yang serba ada dan serba boleh, menyebabkan ia terlalu membesarkan dirinya sehingga lupa kepada Allah yang memberikannya itu semua. Sabda Allah s.a.w.

Sekiranya kamu tidak pernah berdosa, tentulah aku takut kalau kamu ditimpai oleh dosa yang lebih besar iaitu ujub.” (Riwayat Bukhari)

10. RIAK

Ertinya berbuat sesuatu ibadah kerana mengharapkan pujian orang bukan ikhlas melakukan ibadah semata-mata dan kerana Allah. Firman Allah SWT.

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang sembahyang iaitu orang-orang yang lalai dari sembahyang lagi menunjuk-nunjuk.” (Al Maun: 4,5,6,)

Menurut pandangan Syariat, riyak merupakan syirik kecil kerana ia menyegutukan Tuhan di dalam ibadah. Sifat ini biasanya berlaku secara tidak sedar kerana ia adalah hasil bisikan halus syaitan dan dorongan hawa nafsu. Namun, tidak pula boleh meninggalkan ketaatan kepada Allah kerana takut berlaku riak. Apa yang perlu dilakukan ialah bersungguh-sungguh beramal dengan memelihara keikhlasan semata-mata mengharapkan redha Allah.

Yang demikian adalah sifat-sifat yang keji, yang perlu diperhatikan dan dijauhi sungguh-sungguh daripada diri kita kerana ianya akan mendatangkan kesengsaraan hidup di dunia dan akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka Jahannam di Akhirat. Dengan mengetahui sifat-sifat yang tercela itu, dapatlah kita berusaha mengungkainya dan menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.


 

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 08:42
 

AKHLAK YANG MULIA

E-mail Cetak PDF

 

bawa_jenazah_ke_kubur syukur


Di antara sifat-sifat baik yang wajib diketahui dan dikehendaki setiap muslimin berusaha memperolehinya oleh syariat ada sepuluh perkara:

1. TAUBAT

Taubat ertinya kembali kepada fitrah semulajadi yang suci dan bersih. Maksiat atau dosa yang dilakukan, mengerunkan atau mengotorkan fitrah manusia. Dengan taubat yang dilakukan kepada Allah, fitrah manusia akan jernih kembali dan manusia kembali berada dalam redha dan kasih sayang Allah. Firman Allah SWT.

Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang bertaubat dan mereka yang suci.”

(Al Baqarah: 222)

Syarat-syarat yang mesti ditempuh apabila bertaubat:

i. Meninggalkan terus maksiat yang dilakukan.

ii. Menyesal terhadap dosa-dosa yang telah dikerjakan.

iii. Bertekad dengan sungguh-sungguh tidak akan mengulangi perlakuan maksiat itu lagi.

iv. Terhadap dosa sesame manusia ditambah satu lagi syarat iaitu meminta maaf kepada orang yang kita bersalah dengannya sehinggalah datang keredhaannya.


2. TAKUT

Khauf ertinya takut kepada Allah. Dengan takut terhadap kemurkaan kepada Allah SWT, maka manusia akan bersungguh-sungguh memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah Allah dan gigih melaksanakan segala titah perintah Allah SWT. Firman Allah SWT.

Maka, janganlah kamu takut kepada mereka, melainkan hendaklah kamu takut kepada Aku.”

(Al-Baqarah: 150)

Di antara kaedah untuk menimbulkan kegerunan terhadap Allah ialah:

i. Sering meneliti ancaman-ancaman Allah terhadap orang-orang yang berdosa di dalam Al Quran atau Hadis Rasulullah. Apabila selalu berbuat demikian, hati akan menjadi lembut dan sering terkenangkan hari pembalasan di Akhirat.

ii. Melihat kepada sejarah orang-orang yang mendapat kutukan Allah hasil maksiat dan dosa yang mereka lakukan. Ada di antara mereka yang menempuh azab sengsara sewaktu hidup di dunia lagi sebelum menerima azab sebenar di hari Akhirat.

iii. Membuat perbandingan azab dunia dengan azab Akhirat. Kalau api di dunia ini pun sudah cukup menderita bila kita terpegangnya, bayangkan betapa pedihnya siksa di dalam Neraka apabila dibakar dengan api yang seribu kali lebih panas dari api dunia.

3. ZUHUD

Zuhud ertinya hati tidak terikat dengan keduniaan seperti harta benda, wang ringgit, anak-anak dan sebagainya. Hatinya hanya terikat dan bersandar pada Allah. Firman Allah.

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi sandaran.” (Al Kahfi: 46)

Tidak semestinya orang yang tidak berharta atau miskin itu zuhud, dan tidak semestinya orang kaya atau orang berharta itu tidak zuhud. Zuhud adalah persoalan hati yang dapat dilihat melalui tindakan masing-masing. Orang miskin belum tentu zuhud kerana kemiskinannya, mungkin hatinya terlalu terikat dengan kebendaan tetapi malangnya dia tidak berharta. Orang kaya yang mudah membantu orang susah, suka mengeluarkan sedekah dan tidak berubah warna hatinya jika segala kekayaannya lenyap, maka dia adalah orang yang zuhud. Dengan lain perkataan, kekayaan serta perhiasan lahiriah tidak bertapak dalam hatinya melainkan hanya sekadar di tangannya untuk mudah diagih-agihkan kepada seluruh hamba-hamba Allah yang memerlukan.

SABAR
Sabar adalah sifat hati yang gagah, tabah atau tahan menghadapi sesuatu ujian yang mendatang. Walaupun hatinya menderita tetapi ia tetap bertahan dan terus berusaha. Firman Allah SWT.

Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan sembahyang sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah: 153)

Sabar terbahagi kepada tiga bahagian:
i. Sabar dalam mengerjakan ketaatan. Melaksanakan tuntutan Allah adalah amalan yang begitu berat kepada nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Kesusahan serta kesulitan dalam berjuang melawan hawa nafsu dan syaitan untuk menegakkan yang hak perlukan kepada sifat sabar.

ii. Sabar daripada maksiat: Maksiat atau perbuatan-perbuatan yang mendatangkan dosa begitu didorong oleh nafsu dan syaitan. Menahan atau membendung diri daripada melakukan kejahatan perlukan kesabaran yang kuat.

iii. Sabar terhadap ujian: Tidak mudah berputus asa tetapi ditelan semua itu walaupun dengan hati yang perit.

4. SYUKUR

Sifat syukur ertinya menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk mentaati ALLAH dan kerana Allah semata-mata. Firman Allah SWT.

Syukurlah kepada ALLAH, jika kamu sungguh-sungguh beribadah kepada-Nya.” (An Nahl: 114)

Kesyukuran yang menyeluruh melibatkan tiga perkara:

i. Hati: Merasai syukur di dalam hati, menyatakan rasa penghargaan yang begitu mendalam terhadap segala pemberian Allah.

ii. Lidah: Sentiasa mengucapkan “Alhamdulillah.”

iii. Dengan perbuatan: Perbuatan yang mengarahkan kepada ketaatan kepada Allah.

Dengan bersyukur, Allah berjanji akan menambah nikmat-nikmat pemberian-Nya.

5. IKHLAS

Iaitu mengerjakan amal perbuatan serta ibadah kerana Allah, semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya, bukan kerana tujuan-tujuan yang lain. Firman Allah SWT.

Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepada-Nya dan berkeadaan lurus serta mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, yang demikian itu adalah agama yang benar.” (Al Baiyinah: 5)

Hanya orang-orang yang ikhlas terselamat daripada gangguan serta godaan syaitan. Tanpa ikhlas, amal perbuatan tertolak, tidak ada nilaian di sisi Allah SWT.

6. TAWAKKAL

Menyerahkan atau pasrahkan diri kepada Allah SWT setelah gigih berusaha dengan mendatangkan segala sebab-sebab yang memungkinkan kejayaan dan menyerahkan hujung hasil atau untung nasib usaha tersebut kepada Allah.

Tawakkal menyuburkan rasa kehambaan seorang manusia kerana apabila usaha-usahanya beroleh kejayaan, maka di akan bersyukur kepada Allah kerana Allahlah yang menjayakannya. Dia tidak sombong atau bangga diri terhadap kejayaan itu. Sebaliknya kalau usaha itu menemui kegagalan, dia tidak berputus asa dan dia yakin pasti ada hikmah yang tersirat di sebalik keputusan gagal Allah itu.

Firman Allah SWT.

Dan kepada Allahlah hendaknya berserah diri orang-orang yang beriman.” (Ibrahim: Ayat 11)

7. CINTA

Cinta atau kasih membawa maksud cinta atau kasihkan Allah dengan sebenarnya melalui bersungguh-sungguh berkhidmat dan beribadah kepada-Nya serta bersungguh-sungguh memelihara diri daripada maksiat.

Firman Allah SWT.

Dan orang-orang yang beriman itu terlebih kasih kepada Allah.”

Tidak ada cinta tanpa pengorbanan. Maka kerana kasihkan Allah, manusia rela berkorban apa saja untuk kecintaannya.

8. REDHA

Redha ertinya berlapang hati atau merasa tenang menerima takdir yang ditentukan Allah, baik yang berupa nikmat atau musibah. Sabda Rasulullah s.a.w.

Bila Allah cinta kepada sesuatu kaum, mereka diuji. Barangsiapa redha menerima ujian itu, Allah redha kepadanya dan sesiapa yang marah maka Allah pun marah kepadanya.”

(Riwayat Turmidzi)

Redha lebih tinggi kedudukannya daripada sabar dan lebih sukar diperolehi. Sabar, walaupun ia tabah menghadapinya tetapi hatinya merasa perit manakala redha, di samping ia tabah menanggung musibah, hatinya pula tenang, tidak terusik.


9. MENGINGAT AKAN MATI

Banyak ingatan pada mati, memutuskan nikmat. Menjadikan manusia berhati-hati menjalani kehidupan, memendekkan angan-angan terhdaap dunia dan benci kepada apa-apa yang tidak berguna kepada Akhirat. Firman Allah SWT.

Katakanlah bahawa kematian yang engkau lari daripadanya itu pasti akan menemui kamu.” (Al Jumuah: 8)

Orang yang bijaksana ialah orang yang hidup untuk matinya. Yakni hidup dijadikan modal untuk akhirat iaitu dengan banyak membuat amal soleh.

Mujahadatunnafsi (Melawan Hawa Nafsu)

Untuk meningkat ke darjat yang mulia, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban. Caranya ialah dengan bermujahadah, yakni berperang dengan nafsu dan syaitan untuk mengungkai sifat-sifat hati yang keji (mazmumah). Selagi nafsu tidak dapat ditundukkan, hati tidak akan bersih. Kalau kita bercita-cita mahu bertemu Allah dengan selamat, kita mesti bermujahadah terhadap semua mazmumah, yang dihidupkan oleh nafsu, setiap kali ia menyerang kita.

Sesuai dengan ajaran Islam yang tegak di atas dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesame manusia, maka akhlak-akhlak yang tersebut boleh dibahagi kepada dua iaitu:

i. Penyakit hati terhadap Allah

ii. Penyakit hati terhadap sesama manusia

Di antara penyakit hati (mazmumah) terhadap ALLAH.

i. Tidak khusyuk beribadah

ii. Lalai daripada mengingati Allah

iii. Tidak ikhlas pada Allah

iv. Tidak puas dengan pemberian Allah

v. Tidak terasa Allah itu hebat

Di antara penyakit hati terhadap manusia.

i. Benci membenci

ii. Buruk sangka

iii. Tidak bertolak ansur

iv. Mementingkan diri sendiri

v. Degil dan keras hati

Terhadap mazmumah dengan Allah, untuk mengungkainya ialah dengan bermujahadah dengan melakukan dan membanyakkan ibadah atau hubungan dengan Allah seperti:

i. Sembahyang

Membanyakkan di samping memperbaiki mutu sembahyang yang dilakukan. Perkara penting yang perlu diambil perhatian semasa menunaikan sembahyang ialah khusyuk. Sembahyang yang khusyuk ialah sembahyang sempurna lahir dan batin. Di samping itu, hendaklah memahami serta menghayati bacaan-bacaan di dalam sembahyang.

ii. Zikrullah (Ingat Allah)

Ibadah-ibadah yang dilakukan dengan betul, beradab, difahami dan dihayati maksudnya akan meresap ke hati dan menerbitkan iman, tenang serta bahagia pada hati.

iii. Berdoa

Berdoa adalah ibadah dan juga sumber iman. Adukan semua masalah pada Allah dan gantungkan sepenuh harapan kepada-Nya. Legakan ketegangan fikiran dan perasaan dengan berdoa, iaitu menyandarkan harapan kepada satu kuasa yang mutlak, yang boleh menyelesaikan masalah.

Terhadap mamumah dengan sesame manusia ialah bermujahadah dengan mengikiskan sifat-sifat yang keji. Misalnya, apabila timbul rasa hasad dengki kepada orang lain, kita kena lawan perasaan itu, dengan kita mendoakan kebaikan untuk orang itu atau pergi bertemu dengannya dan berikan kepadanya hadiah. Apabila rasa malas untuk menunaikan sembahyang, paksa-paksakan diri untuk terus bangun dan bersembahyang.

Apabila nafsu sentiasa dididik, maka nafsu itu akan menjadi jinak dan mudah tunduk kepada titah perintah Allah. Pada waktu itu, bukan nafsu lagi yang memimpin manusia tetapi yang memimpinnya ialah hatinya yang bersih. Dengan hati yang bersih, akan selamatlah hidup manusia di dunia dan Akhirat. Firman Allah SWT.

“Wahai Jiwa yang tenang tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu.”

 

Terakhir dikemaskini pada Isnin, 06 September 2010 08:42
 

Penagih Arak Adalah Penyembah Berhala

E-mail Cetak PDF
sebat_21
Hukuman sebat

"Tiap-tiap sesuatu yang yang jika diminum boleh memabukkan, maka sedikitpun hukumnya haram". (HR Nasai dan Abu Daud)

Orang yang meminum arak, hatinya tidak pernah tenang sebenarnya. Kerana Allah SWT telah memberitahu manusia, bahawa dengan meminum arak, syaitan dengan mudah menggoda dan menguasai hati mereka supaya tidak mengingati Allah. Dari tidak mengingati Allah, mereka tidak akan menunaikan sembahyang, kerana sembahyang kepada mereka adalah sesuatu yang amat berat ditunaikan.

Bila hati sudah tidak mengingati Allah dan tidak pula menunaikan sembahyang dengan sebaik-baik dan sekhusyuk-khusyuknya, maka jauhlah manusia itu dari rahmat Allah. Kejauhan manusia dari rahmat itulah akan menambahkan lagi sengsara manusia. Dengannya lahirlah masalah keburukan-keburukan  moral yang amat sulit untuk diatasi.

Di samping itu pula , ada lagi  satu keburukan yang sukar hendak dikesan dengan akal fikiran  yang biasa. Akan tetapi jika dilihat dari keterangan-keterangan al-Qur'an dan as-Sunnah, maka kita akan menerimanya secara ikhlas, bahawa dengan meminum arak maka iman seseorang itu terjejas.

Rasulullah Saw.bersabda yang mafhumnya :

"Penagih arak adalah penyembah berhala". (HR Abu Hurairah).

Pernyataan Rasulullah SAW itu memberi erti yang amat besar, di mana Rasulullah SAW menyamakan penagih  arak itu dengan penyembah berhala . Menyembah berhala adalah perbuatan syirik. Syirik adalah musuh iman, yang akan mencacatkan iman malah merosakkannya sama sekali.

Oleh kerana itu perbuatan meminum arak akan membawa kepada syirik dalam pengertian bahawa amalan-amalan yang dilakukan oleh peminum-peminum arak tidak akan diterima Allah SWT.

Dengan dua keburukan dari perbuatan meminum arak itu maka memang patutlah hukuman yang akan dijatuhkan ke atas mereka di dunia ini lagi jika sabit kesalahan peminum arak itu dengan empat puluh kali dera, sepertimana hadis Rasulullah SAW. yang maksudnya :

Dari Abi Sa'id  al-Khudri katanya :
" Sesungguhnya Rasulullah saw. telah menghukum sebat peminum arak dengan empat puluh kali sebat ".

Untuk menderakan orang yang meminum arak, tidak semestinya dengan menggunakan rotan dan yang seumpamanya. Malahan boleh digunakan alat-alat seperti pelepah kurma (sebagai contoh), dahan-dahan kayu yang sesuai, kasut atau kain yang dijadikan alat untuk menyebat dan sebagainya. Yang pentingnya peminum tersebut menerima 40 kali sebat. Wallahu A'lam.

Terakhir dikemaskini pada Khamis, 29 April 2010 16:00
 

Prasangka Baik

E-mail Cetak PDF

SIFAT MUSLIM SEJATI

 

Rasulullah S.A.W. bersabda yang mafhumnya :

"Amat menankjubkan  sikap seorang Mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu yang berada di persekitarannya. Sikap ini  sebenarnya tidak pernah wujud pada umat yang lain kecuali kepada golongan Mukmin. Apabila seseorang Mukmin itu memperoleh kebaikan, dia langsung bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya ". (HR Muslim)

Seorang Mukmin sejati sudah pastinya  menyedari  bahawa perkara yang baik mahupun yang buruk dalam kehidupan ini akan datang silih berganti menimpa ke atas dirinya.

Pada satu ketika ia akan mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin  pula pada satu ketika lain  ia akan ditimpa kesusahan dan kesedihan yang akan menguji kesabarannya.

Pada waktu ini dia memperoleh kesihatan yang memuaskan yang memungkinkan dirinya melakukan sesuatu kerja dengan baik dan lancar  namun  pada waktu lain ia ditakdirkan pula jatuh sakit sehingga kerja rutin hariannya akan terbantut buat seketika waktu.

Semua itu adalah sudah menjadi ketetapan dan ketentuan Ilahi yang mengatur dan menyusun  perjalanan alam maya yang terbentang luas ini.

Ini bermakna  bahawa perjalanan hidup yang dilalui oleh setiap makhluk tidaklah tetap dan sentiasa berubah -ubah dari semasa ke semasa . Kedaan ini bertepatan dengan firman Allah swt.yang mafhumnya :

" Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa  kemenangan  atau kekalahan). Kami gilirkannya di antara manusia  (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya)".
(QS Ali Imran ayat 140).

 

ENGKAU SEKARANG MERDEKA

E-mail Cetak PDF

Firman Allah swt. yang mafhumnya :

"  Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;" ( QS Ali Imran ayat  134 ).

Pernah dikisahkan  orang bahawa ada seorang khadam ( pelayan )  yang membawa hidangan makanan kepada  tuannya, kemudian  dengan tidak disangka-sangka jatuhlah  ia ke atas hamparan  yang telah disediakan  bersama dengan hidangan itu.

Maka marahlah tuannya dan ia berkata kepadanya : " Cubalah ingat firman Allah . Bertanya tuannya : Apakah firman Allah itu ?

Jawabnya : Allah berfirman yang maksudnya : " dan orang-orang yang mencegah kemarahannya .

Mendengar itu tuannya  itu berkata : Aku cegah kemarahanku. 

Kemudian ia berkata : "Sambungannya yang bermaksud : "  dan orang-orang yang memaaf dari kesalahan manusia. 

Kata tuannya : Aku maafkan engkau .

Akhirnya ia berkata : " dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan .

Lalu kata tuannya : Engkau sekarang merdeka , bagi engkau seribu dinar sebagai ihsanku pada engkau.

Wallahu A'lam.
 


Muka 1 daripada 3

Pengunjung

Kami ada 24 tetamu online